Pemandu kenderaan berat dicadang jalani ujian saringan berkala – Ka Siong

0
1

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengarahkan agensi yang berkaitan untuk meneliti kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat dengan lebih menyeluruh.

Beliau berkata, kaedah penyelesaian yang berkesan juga perlu disegerakan.

“Kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat seperti treler semakin menjadi-jadi. Malah turut melibatkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Saya amat sedih dengan apa yang berlaku. Takziah buat ahli keluarga mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat,” katanya.

Ka Siong berkata, beliau telah mengarahkan agensi dan pihak yang berkaitan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) meneliti kes kemalangan membabitkan kenderaan berat.

“Selain mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah, saya juga melihat keperluan melaksanakan ujian saringan kepada para pemandu bagi mengelakkan mereka memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah atau alkohol.

“Menerusi kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), ujian saringan ini mungkin boleh dilakukan secara berkala, dibuat secara mengejut dan dilaksanakan di pelbagai lokasi termasuk di pejabat-pejabat syarikat pengangkutan dan logistik.

“Mana-mana syarikat juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terutama jika hasil siasatan mendapati kenderaan mereka tidak diselenggara dengan baik, tidak mematuhi peraturan dan seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab berkenaan lepas tangan dan hanya tamak mengaut keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan pekerja iaitu pemandu dan juga pengguna jalan raya yang lain.

“Syarikat-syarikat dan para pemain industri juga perlu memandang serius perkara ini terutamanya dalam memastikan keselamatan pekerja-pekerja mereka sentiasa terjamin.

“Undang-undang yang digubal perlu dipatuhi dan dihormati sepenuhnya, ianya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan nyawa manusia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here