Maritim Malaysia tahan 5 PATI di perairan Tanjung Tuan

0
1

LIMA pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk melalui laluan tidak diwartakan berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan di perairan Tanjung Tuan, Melaka malam tadi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak, berkata tangkapan adalah hasil maklumat pengesanan pergerakan curiga bot masuk dari perairan Indonesia menuju ke perairan Tanjung Tuan.

Menurutnya, bot berkenaan dikesan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang kemudian disalurkan kepada aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan operasi ketika itu.

Beliau berkata, bot berkenaan berjaya dipintas sekitar jam 11.40 malam di kedudukan lebih kurang 2.9 batu nautika barat Tanjung Tuan.

“Pemeriksaan ke atas bot gentian kaca berwarna biru tanpa nombor pendaftaran itu menggunakan enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda.

“Terdapat lima lelaki termasuk tekong warga Indonesia berada dalam bot berusia antara 21 hingga 46 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka termasuk bot seterusnya ditahan dan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Berdasarkan statistik sehingga akhir Jun 2022, Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan merekodkan sebanyak dua kes tangkapan di bawah Akta Imigresen dan ATIPSOM,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here