Kerajaan tak bersungguh tangani kekurangan buruh industri sawit

0
1

KERAJAAN didakwa tiada kesungguhan politik langsung dalam menyelesaikan masalah kekurangan buruh dalam industri sawit negara.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata jika dibiarkan berlarutan isu itu akan terus membawa padah kepada ekonomi Malaysia dan membantut perkembangan industri sawit negara.

Katanya, industri sawit merupakan salah satu tunjang ekonomi negara yang mana enurut perangkaan pada tahun 2021, nilai eksport Malaysia untuk kategori ‘Palm Oil & Palm Oil Based Product’ (POPP) mencecah RM108 billion atau hampir 9 peratus daripada jumlah eksport negara.

Namun katanya, pembangunan industri sawit belakangan ini semakin dibelenggu oleh kekurangan tenaga buruh.

“Keadaan semakin parah. Sehingga sudah biasa dilihat buah-buah sawit masak yang cukup bernilai dibiarkan mereput di atas pokok begitu sahaja.

“Sebabnya buruh mahir menuai semakin kurang terutamanya dari kalangan pekerja Indonesia yang tidak dapat kembali kerja selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Terdahulu semalam beliau melawat ladang kelapa sawit di Rantau, Negeri Sembilan dan bertemu sekumpulan veteran industri sawit untuk mendengar taklimat dan keluhan mereka.

“Pengalaman sungguh bernilai buat kami kerana dapat melihat dengan mata sendiri bagaimana pengusaha tempatan sedaya upaya berinovasi dengan penggunaan mesin dan alatan baru untuk menambah produktiviti demi mengurang kebergantungan pada buruh asing.

“Pun begitu, keadaan industri sawit sekarang sememangnya menghadapi kesuntukan bekalan tenaga kerja yang kronik dan serius.

“Seluruh industri kekurangan ratusan ribu pekerja. Akibatnya negara rugi berbillion ringgit kerana buah-buah sawit yang masak tidak dapat dituai,” katanya.

Tambahnya Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Ong Kian Ming semalam turut mendedahkan statistik pengeluaran kelapa sawit (dalam metrik tan) sebenarnya mencatatkan penurunan dua tahun berturut-turut.

“Hari ini industri ditimpa pula dengan berita buruk di mana Indonesia dikatakan akan menggantung penghantaran pekerja mereka ke Malaysia kerana isu MoU yang masih tidak diselesaikan oleh kerajaan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here