DUA individu dikehendaki Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Khas Pati Semenyih berhubung kes pendakwaan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Individu berkenaan membabitkan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara Bangladesh.
JIM dalam kenyataan media hari ini memohon orang ramai membantu memberikan maklumat berhubung kedua-dua orang yang dikehendaki itu.
“Memohon orang ramai membantu memberikan maklumat seorang lelaki warganegara Malaysia bernama Muhammad Shazri Mohd Ali, 30.
“Alamat terakhirnya adalah BT 23 1/2, Kampung Api-Api, Bukit Rotan, Selangor,” menurut kenyataan itu.
Menurut JIM, seorang lagi yang dikehendaki adalah lelaki warganegara Bangladesh bernama Mohammad Akash, 28, yang alamat terakhirnya adalah No 29 G, Tingkat Bawah, Jalan 1/3A, Pasar Borong Selayang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dipohon supaya dapat menghubungi terus Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan (TPPK) Mohd Azamuddin Long, di talian 03-88801338 / 1330 pada waktu pejabat dan Bilik Gerakan 03-88801555 selepas waktu pejabat,” katanya. – Malaysiapost

