SEORANG lelaki dipercayai pasangan kepada wanita didakwa menghina Islam ketika melakukan persembahan komedi, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya.
V Alexander Navin, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Bagi pertuduhan pertama, Alexander didakwa pada 5 Jun lalu memuat naik hantaran menyakitkan hati di akaun Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan di pautan Instagram dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya di aplikasi YouTube pada 16 Jun lalu, di tempat sama dan melakukan kesalahan mengikut seksyen sama, lapor Malakat Tribune News.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Mohamed Idris tidak menawarkan sebarang jaminan.
Beliau turut memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport, melapor diri di balai polis dan tidak memuat naik kenyataan di media sosial berhubung kes itu.
Bagaimanapun, Ramesh membantah dan memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah dengan alasan semua kesalahan dilakukan tertuduh boleh dijamin.
Hakim kemudian mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 1 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, wanita yang didakwa menghina Islam dengan menanggalkan pakaian dan tudung dalam sebuah persembahan komedi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini.
Siti Nuramira Abdullah, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Tertuduh berdepan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun. – Malaysiapost
Kredit foto: BERNAMA

