GERAK kesal pembesar, pemimpin negara berpakaian mewah

0
1

PERTUBUHAN Perubahan Rakyat Malaysia (GERAK) kesal apabila golongan pembesar negara serta pemimpin politik terpalit isu berpakaian mewah ketika kehidupan rakyat semakin terhimpit.

Pengerusinya, Ezam Mohd Nor berkata terbaharu menjadi isu di media sosial apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenakan kasut berharga puluhan ribu ringgit.

Beliau berkata, golongan tersebut seharusnya peka terhadap kesusahan dihadapi rakyat yang melihat mereka bermewah-mewahan.

“GERAK ingin mengingatkan mereka bahawa isu pemimpin, pembesar bermewah bukan isu kecil. Ibn Khaldun menyatakan dalam Muqaddimah bahawa tanda kejatuhan tamadun adalah apabila pemimpin ‘hidup mewah dan berkejar dengan kemewahan’.

“Al-Quran dalam Surah Al Waqiah ayat 45 bermaksud ‘dan mereka yang semasa hidup di dunia dalam kemewahan’. (MUTRAFIIN) Mereka itu termasuk golongan dibenci Allah swt.

“Maka adalah jelas soal bermewah, kemewahan adalah isu pokok. Bukan isu kecil dan cebisan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Ezam berkata, GERAK kesal dengan sikap sesetengah pemimpin negara dan negeri yang bermewah kerana ia bukan sahaja sikap angkuh dan tidak peka, lebih penting lagi bertentangan dengan prinsip peradaban dan agama.

“GERAK gesa sikap ini diperbetulkan segera sebelum bangsa ini terjerumus lebih jauh ke jurang kehancuran di atas kejahilan dan keangkuhan pemimpin dan pembesar itu sendiri,” katanya.

Kelmarin Tunku Mahkota Johor menasihati Onn Hafiz supaya tidak melayan cakap-cakap daripada pihak tertentu, sebaliknya fokus terhadap tugasnya untuk membangunkan Johor.

Nasihat itu diberikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim susulan kenyataan Onn Hafiz yang memaklumkan kasut mahal dipakainya adalah kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Terdahulu Onn Hafiz menyifatkan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa beliau berbelanja mewah mengenakan sepasang kasut berharga RM40,000 sebagai fitnah.

Sebaliknya beliau menjelaskan, kasut yang dipakainya adalah kurniaan Sultan Johor, bukan hanya kepadanya, malah barisan Exco terdahulu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here