PAS tiada masalah tukar lambang bulan di Kelantan – Tuan Ibrahim

0
1

PAS tidak mempunyai masalah untuk menukar lambang bulan yang sinonim dengan rakyat di Kelantan kepada logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata beliau percaya penyokong serta pendukung parti itu memahami serta patuh dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi nanti.

Menurutnya, hal ini kerana parti itu sudah mempunyai banyak pengalaman berhubung isu penukaran dan penggunaan logo dalam pilihan raya.

“Kita rasa tiada masalah berhubung kesesuaian penggunaan logo PN di Kelantan yang sudah sinonim dengan logo bulan. Kita yakin ahli serta penyokong PAS memahami dan patuh dengan keputusan parti.

“PAS ada banyak pengalaman berkenaan isu logo ini. Kita pernah sertai dan guna logo BN (Barisan Nasional), malah logo bulan serta bintang pernah diharamkan sehingga kita terpaksa guna logo tangan. Jadi kita rasa tiada masalah berkenaan perkara itu,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata, mesyuarat pimpinan tertinggi PN memutuskan terdapat keperluan untuk diwujudkan logo serta penukaran warna kerana ada isu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka baru-baru ini.

Katanya, sebahagian pengundi keliru dengan warna biru yang sama digunakan BN dan PN menyebabkan mereka mengundi BN walaupun bermati-matian menyokong kepimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita telah suarakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi PN mengenai keperluan menggunakan warna berbeza antara BN dan parti-parti lain. Kita juga telah bermesyuarat dan bersetuju mengenai keperluan PN untuk mempunyai logo sendiri.

“Ini kerana PN tidak mempunyai logo sendiri sehingga kini sebaliknya hanya menggunakan tulisan Perikatan Nasional. Namun perkara ini masih di peringkat penilaian berkenaan bentuk logo serta warnanya,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, perhatian serius akan diberikan kepada dua perkara berkenaan dan cuba diselesaikan sebelum pilihan raya, manakala berkenaan penggunaannya bergantung kepada keputusan parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here