‘Najib, jangan lupa Umno henti bayaran kepada kesultanan Sulu’

0
1
najib razak

SEORANG pemimpin kanan PKR hari ini membidas Datuk Seri Najib Razak kerana cuba meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berkaitan isu waris Kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan bernilai AS$2 bilion (RM8.87 bilion).

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini kerana Umno adalah sebahagian daripada kerajaan hari ini, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dari Umno.

Beliau juga mengingatkan Najib agar jangan lupa pemberhentian bayaran pajakan RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu berlaku pada 2013, ketika Umno menerajui Kerajaan.

“Siapa lagi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu jika bukan Najib? Adalah lebih baik beliau menasihatkan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera.

Sekiranya ia dibiarkan, satu lagi aset negara akan hilang; ia juga jelas mencemarkan kedaulatan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa turut mempersoalkan di mana Peguam Negara semasa yang sepatutnya memastikan perkara tersebut tidak berlaku.

Katanya lagi, mengapa tiada injunksi atau perintah sekatan difailkan terhadap pewaris kesultanan Sulu yang dikatakan melakukan tindakan undang-undang tidak berasas?

“Apa yang telah dilakukan Peguam Negara dan kerajaan setelah perintah timbang tara diperoleh? Apakah yang telah dilakukan untuk mengetepikan perintah timbang tara itu?

“Saya hanya melihat Najib seperti biasa menyalahkan Pakatan Harapan,” katanya.

Semalam Petronas mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. yang dilaporkan dirampas waris kesultanan Sulu, menerima notis ‘Saisie-arret’ kelmarin.

Syarikat petroleum Malaysia itu berkata, kedua-dua anak syarikat itu, melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan itu telah dipulangkan dengan sewajarnya.

Waris Sultan Sulu sebelum ini menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggar bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Susulan itu Najib semalam berkata sepanjang pemerintahan PH, negara bukan saja kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, kini bakal kehilangan Wilayah Sabah kepada keturunan Sultan Sulu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kedua-dua keadaan itu berlaku ketika pemerintahan PH dan Tan Sri Tommy Thomas menjadi Peguam Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here