MUNGKIN ajalnya telah sampai. Seorang lelaki yang tidak pernah makan singgang daging meninggal dunia ketika pertama kali menikmatinya.
Wan Azlan Wan Ishak, 28, meninggal dunia selepas sesak nafas, dipercayai tercekik tulang daging korban di rumahnya di Kampung Alor Selising, Jerteh, Terengganu, semalam.
Kakaknya, Wan Suria, 32, berkata, dia pelik apabila adiknya itu yang baru pulang dari tempat kerjanya kira-kira jam 5.15 petang terus ke dapur untuk memanaskan singgang daging, sebelum makan.
“Jika diikutkan sebelum ini dia tidak pernah makan singgang daging lembu. Lauk kegemarannya ialah ayam. Dia juga tidak makan ikan kerana trauma pernah tercekik tulang ikan.
“Semalam arwah makan daging singgang, lalu tercekik,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.
Menurutnya, Wan Azlan kemudiannya meronta-ronta meminta tolong memaklumkan kerana sukar untuk bernafas.
“Saya juga cuba membantu arwah tetapi tidak berjaya dan sempat meminta arwah mengucap sebelum dia tidak sedarkan diri.
“Arwah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.50 petang,” katanya.
Menceritakan mengenai adiknya, Wan Suria berkata, Wan Azlan amat rapat dengan ahli keluarga serta disenangi oleh semua kenalan kerana seorang yang peramah dan suka membantu sesiapa sahaja.
Katanya, kehilangan adiknya itu amat dirasai namun mereka reda dengan pemergiannya pada hari ketiga Aidiladha.
“Pada raya kedua Aidiladha, ibu berkata jika Azlan tiada, pasti mereka sukar untuk melakukan aktiviti seharian kerana dia banyak membantu memudahkan urusan keluarga,” katanya yang tidak sangka ianya menjadi kenyataan.
Wan Azlan selamat dikebumikan kira-kira jam 12 malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Padang Landak. – Malaysiapost
Kredit Foto: NSTP
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

