ROS belum maklumkan status permohonan pindaan perlembagaan Umno – Hamzah Zainudin

0
1
Datuk Seri Hamzah Zainudin

MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan setakat ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih belum mengeluarkan sebarang surat berhubung permohonan Umno meminda perlembagaannya.

Beliau berkata, meskipun ROS di bawah kementeriannya namun sebarang keputusan ditentukan oleh jabatan itu sendiri.

“Buat masa ini saya difahamkan ROS belum keluarkan surat lagi, saya menteri mengawal ROS tapi keputusan dibuat ROS sendiri,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Susulan Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas Mei lalu, Umno telah menghantar permohonan pemindaan perlembagaannya kepada ROS untuk membenarkan pemilihan parti itu diadakan selepas enam bulan berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Umno yang dipimpin Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya telah tamat tempoh kepimpinannya sejak Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, sebelum penggal itu berakhir, pucuk pimpinan Umno telah menggunakan Fasal 10.16 perlembagaannya untuk menangguhkan pemilihannya selama 18 bulan dan tarikh akhir itu akan tamat pada 29 Disember ini.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno, memaklumkan ROS mempunyai masa sehingga 16 Julai ini untuk meluluskan pindaan perlembagaan Umno bagi membolehkan penangguhan pemilihan parti berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here