Malaysia ke final Kejuaraan B-19 AFF 2022

0
1

SKUAD bolasepak bawah 19 tahun negara mara ke perlawanan akhir Kejuaraan B-19 AFF 2022 apabila membenam Vietnam 3-0 pada perlawanan separuh akhir, di Indonesia, sebentar tadi.

Anak buah Hassan Sazali Mohd Waras mengotakan janji mereka untuk bangkit selepas kekalahan 0-1 kepada Laos pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan tempoh hari.

Skuad muda negara itu mempamerkan aksi kemas dan meyakinkan apabila berjaya mengekang penguasaan Vietnam pada awal separuh masa pertama.

Gol pembakar semangat akhirnya muncul menerusi Adam Farhan Faizal pada minit ke-26 yang membolehkan Malaysia memimpin perlawanan 1-0.

Vietnam berusaha keras mencari gol penyamaan dan sering mengasak kubu Malaysia pada babak kedua, namun anak buah Hassan Sazali kental mempertahankannya.

Haiqal Haqeemi Hairi melebarkan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-70 sebelum Haykal Danish Haron menamatkan sisa-sisa perjuangan Vietnam menjaringkan gol ketiga, tiga minit sebelum wisel pemamat ditiupkan.

Malaysia melangkah ke perlawanan akhir yang akan berlangsung Jumaat ini dan pastinya memori indah menjuarai edisi 2018 menjadi tangkal azimat untuk sekali lagi muncul sebagai juara.

Lawan Malaysia dalam aksi akhir akan ditentukan sama ada Laos atau Thailand pada perlawanan malam ini.

Sebelum ini, skuad B-19 kebangsaan mempunyai rekod baik dalam tiga edisi terakhir kejohanan dengan menjuarai edisi 2018 selain muncul naib juara pada edisi 2017 dan 2019. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here