AHLI Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mengemukakan dua usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, hari ini untuk dibahaskan pada Sidang Dewan Rakyat minggu depan.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, berkata usul berkenaan dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Menurutnya, usul tersebut berkaitan banjir di Baling baru-baru ini dan dua anak syarikat Petronas yang dilaporkan dirampas oleh waris Sultan Sulu.
“Diharapkan usul-usul itu dibenarkan kerana saya berpendapat ia berkaitan dengan perkara yang mempunyai kepentingan awam yang mendesak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berdasarkan usul yang disertakan bersama kenyataannya itu, beliau merayu agar Dewan Rakyat menangguhkan urusan-urusan mesyuarat yang lain dan membenarkan ahli-ahli Dewan Rakyat merunding dan membahayakan perkara tertentu terbabit yang berkepentingan orang ramai dan negara yang perlu disegerakan.
“Persoalan yang ingin dikemukakan saya adalah bagaimana waris Kesultanan Sulu boleh melaksanakan dan/atau mengambil langkah-langkah pelaksanaan Perintah (rampasan) tersebut apabila Malaysia telahpun menfailkan rayuan dan permohonan penggantungan pelaksanaan Perintah tersebut?
“Persoalan seterusnya apakah status terkini rayuan dan permohonan penggantungan tersebut? Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan dalam membantah tuntutan dalam Perintah tersebut serta bagaimana kerajaan akan mempertahankan aset-aset negara daripada terus dirampas waris Kesultanan Sulu,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub turut menghantar usul tergempar, semalam untuk Dewan Rakyat membahaskan mengenai rampasan aset Petronas.
Timbalan Presiden Amanah itu berkata, perkara penting berkenaan perlu dibincangkan dalam sidang yang dijadualkan bermula 18 Julai ini. – Malaysiapost

