RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat tukar parti dibentangkan minggu depan

0
1
dewan rakyat

MESYUARAT Jawatankuasa Pilihan Khas berjaya memuktamadkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata draf yang sudah diteliti dan dimuktamadkan itu bakal dibentangkan di Parlimen pada 18 Julai ini.

Beliau berkata, RUU itu dicadangkan akan dibahaskan pada 27 dan 28 Julai 2022 di Dewan Rakyat, walau bagaimanapun ia tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Wan Junaidi berkata, terdapat beberapa persoalan yang telah dibangkitkan segelintir ahli Jemaah Menteri menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada 1 Jun 2022 lalu dan persoalan-persoalan tersebut telah dijawab oleh jawatankuasa pilihan khas serta dipanjangkan ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi tadi.

“RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti serta penyata (Laporan) daripada jawatankuasa pilihan khas tersebut akan dibentangkan (laid) atau diletakkan di atas meja Ahli Dewan Rakyat di Parlimen pada 18 Julai 2022.

“Penyata (Laporan) dan pindaan perlembagaan itu akan dijadikan rujukan kepada semua Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, turut dicadangkan supaya libat urus pihak Bahagian Hal Ehwal Undang- Undang dan Pejabat Peguam Negara bersama Ahli Dewan Rakyat Kerajaan diadakan pada 25 Julai 2022 dan libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang berlangsung pada 26 Julai 2022.

“Turut dicadangkan agar sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara diadakan pada 8 Ogos ini dan bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata, setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU tersebut akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos depan.

“Ia untuk diperkenankan dan pewartaannya dijangka bakal dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 September depan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here