Ismail Sabri tak akan buat tindakan lemahkan Umno – Satim Diman

0
1

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mungkin tergamak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kekuatan Umno, kata Ketua Umno Bahagian Puchong, Datuk Mohamad Satim Diman.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata, Ismail Sabri selaku Naib Presiden Umno tentu tahu dan bijak dalam mengenal pasti sebarang tindakan yang boleh melemahkan kekuatan partinya sendiri.

Sebaliknya, Mohamad Satim menegaskan, segala cerita kurang enak terhadap Perdana Menteri ketika ini adalah persepsi yang sengaja dicetus pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sebagai Naib Presiden Umno, takkanlah beliau nak buat perkara yang boleh menjatuhkan parti. Saya rasa beliau cukup matang dan mempunyai jati diri Umno yang kukuh.

“Maka tidak mungkin orang berpengalaman dalam politik macam Ismail Sabri membelakangi Umno.

“Ini semuanya persepsi yang timbul. Macam-macam persepsi mula keluar bila nak dekat pilihan raya,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Justeru, Mohamad Satim berkata, segala persepsi buruk terhadap Umno dan BN terutama kepada para pemimpinnya haruslah ditangani segera.

“Persepsi ini patut ditangani kerana BN kalah PRU14 pun angkara persepsi. Jadi bagi saya ini adalah persepsi nak melaga-lagakan kepimpinan Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas berikutan dakwaan wujud perjanjian rahsia antara Ismail Sabri dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa pengetahuan Umno.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui beliau adalah individu yang menggubal draf perjanjian antara Ismail Sabri dengan PN berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Takiyuddin mengesahkan kewujudan perjanjian tersebut seperti didedahkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menjelaskan draf tersebut digubalnya semasa menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) pada waktu itu.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin mengesahkan terdapat dua saksi yang menandatangani perjanjian dimerterai dengan Ismail Sabri bagi menyokongnya menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Dua saksi tersebut adalah Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here