Marlia Zakaria
MELALUI kredibiliti dan pengaruh yang dimiliki oleh portal Malaysiapost, saya ingin berkongsi rasa tentang sikap pengotor dan ambil mudah rakyat Malaysia terhadap kebersihan alam sekitar yang semakin membimbangkan.
Tabiat membuang sampah merata-rata adalah isu serius namun sering dipandang enteng. Bukan sahaja mencemar pemandangan malah berpotensi merosakkan ekosistem bumi selain menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

Pencemaran alam sekitar berpunca daripada sikap sambal lewa individu bermentaliti kelas ketiga yang tidak bertanggungjawab dengan beranggapan sampah sarap perlu, atau akan diselesaikan oleh pihak pembersihan yang telah dibayar gajinya setiap bulan selain sikap pengotor serta pemalas dalam diri sendiri.

Saya sendiri menjadi saksi dalam beberapa kejadian seumpamanya. Di lampu isyarat, tanpa rasa bersalah pemandu membuang sampah ke luar tingkap. Di kawasan pantai atau tapak perkhemahan pula, sampah dan bekas makanan yang digunakan ditinggalkan begitu sahaja. Tidak ketinggalan juga di padang dan taman-taman awam. Remuk sungguh hati menyaksikan kedangkalan serta sikap penting diri masing-masing.
Lebih menggores hati, pernah berlaku kejadian pemandu wanita membuang sampah (tisu yang sudah digunakan) ke luar tingkap kereta yang diparkir di depan pagar rumah saya sedangkan tong sampah besar telah tersedia di luar pagar, di depan kereta tersebut. Dalam kes ini, saya mengetuk cermin kereta wanita itu dan minta supaya dikutip semula sampah yang telah dibuang. Tersenyum malu, lantas dikutip kembali.

Belum bercerita tentang keadaan tandas- tandas awam. Salur paip yang telah diguna, dibiarkan begitu sahaja di lantai. Hasil buangan pula tidak dibersihkan dengan sempurna. Jijik! Perkara asas begini yang perlu diamal dan diterapkan dalam diri masing-masing sejak awal usia namun yang terzahir seolah-olah mereka ini datang dari dunia yang tidak bertamadun.
Oleh yang demikian, melalui siaran portal ini saya dengan rendah hati merayu supaya seluruh masyarakat Malaysia khususnya, jagalah kebersihan di mana sahaja kita berada. Bukankah kebersihan itu tuntutan agama? Contohilah negara Jepun yang rakyatnya tidak sesekali membuang sampah sesuka hati walaupun sukar untuk kita lihat tong sampah di sana. Kita? Tong sampah yang ada disediakan di merata-rata pun masih berkira dan ‘berat punggung’ untuk buang sampah ke tempat sepatutnya.
Berhentilah menyalahkan warga asing semata jika sendiri tiada bezanya. Jika tidak malu dengan diri, malulah kepada anak dan keluarga yang sentiasa memerhati, belajar melalui tindak-tanduk kita. Fikirkanlah kesan tindakan kita kepada generasi seterusnya. Berubah!
Penulis merupakan bekas wartawan di beberapa media tempatan.
*Semua gambar sekadar hiasan.

