YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara di Istana Negara, hari ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berkenan berangkat ke istiadat berkenaan.
Dalam satu hantaran di laman Facebook Istana Negara, memaklumkan ketua-ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu dilantik ialah Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Lim Juay Jin, Duta Besar Malaysia ke Jepun Shahril Effendi Abd Ghany, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar.
Hadir sama dalam istiadat itu Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Amran Mohamed Zin.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang sebelum ini dilaporkan dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia, tiada dalam senarai penerima watikah pelantikan, hari ini.
Semalam media melaporkan nama Tajuddin digugurkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Difahamkan pengguguran itu kerana kerajaan ‘berubah hati’ mengenai pelantikan Tajuddin. – Malaysiapost

