
SEPANJANG pemerintahan Pakatan Rakyat (PH), negara telah kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dan kini bakal kehilangan Wilayah Sabah pula kepada keturunan Sultan Sulu, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kedua-dua keadaan itu berlaku ketika pemerintahan PH dan Tan Sri Tommy Thomas menjadi Peguam Negara.
Beliau berkata demikian susulan, laporan mengenai waris Kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dikatakan sebagai tuntutan ganti rugi daripada kerajaan Malaysia.
“Terima kasih Tommy dan kerajaan PH! Sudah rampas US$2 bilion (RM8.88 bilion). Boleh rampas lagi US$12,92 bilion daripada US$14.92 bilion (RM66 bilion) yang kita kalah kes kepada pewaris Sulu.
“Petronas menjalankan bisnes di banyak negara. Nak rampas secukup-cukupnya jumlah RM66b itu bukan perkara susah.
“Pulau Batu Puteh dah hilang. Kini giliran kita kena bayar RM66 bilion sekiranya tak mahu hilang Sabah juga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu media melaporkan aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dirampas oleh waris Kesultanan Sulu.
Najib pada 13 Mac lalu menyuarakan kebimbangan berhubung negara kalah kes mahkamah di Sepanyol dan diarahkan untuk bayar gantirugi sebanyak RM63 bilion kepada keturunan Sultan Sulu yang jika gagal Malaysia perlu serahkan wilayah Sabah.
Menurutnya, Keturunan Sulu saman Malaysia pada 2019 ketika pentadbiran kerajaan PH atas alasan Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir wilayah yang kini Sabah setelah negara hentikan bayaran RM5,300 setiap tahun.
Bayaran tersebut dihentikan pada tahun 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu yang mengakibatkan pengorbanan 10 ahli anggota negara keselamatan.
Namun, beliau tidak faham kenapa Tommy yang menjadi Peguam Negara ketika itu menawar untuk bayar “tunggakan” dari tahun 2013 hingga tahun 2019 berjumlah RM48,300 bagi menyelesaikan kes.
“Sehingga hari ini, Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad), Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Mat Sabu (Mohamad Sabu) dan Guan Eng (Lim Guan Eng) masih membisu berkenaan isu kes Sulu ini.
“Saya tanya lagi: Adakah surat yang luar biasa bodoh ini diluluskan jemaah menteri kerajaan PH masa itu ataupun ianya hanya surat dari Tommy sebagai Peguam Negara sahaja?” soalnya dalam satu lagi hantaran.
Najib turut mempersoalkan mengenai siapa yang bertanggungjawab melantik Tommy menjadi Peguam Negara sehingga dua keadaan yang dialami negara itu berlaku. – Malaysiapost
