PAS akan mendapat untung dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang akibat perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata Tun Daim Zainuddin.
Bekas Menteri Kewangan itu turut menjangka parti dalam PH akan kehilangan sebilangan kerusi.
“Pembangkang tidak akan dapat majoriti kerana DAP bakal kehilangan sebilangan kerusi sementara PKR akan kalah lebih lagi.
“Bagi Pejuang, saya rasa sudah habis dan begitu juga Bersatu. Dan jika kita tidak hati-hati, PAS akan dapat lebih banyak kerusi,” katanya seperti dilapor MalaysiaInsight.
Daim berkata, walaupun PH kehilangan kuasa pada 2020, keadaan itu masih tidak berubah.
“Malah sehingga hari ini, mereka masih tidak berubah. Pembangkang masih berpecah-belah dan ini akan berterusan hingga 10 tahun jika tidak hati-hati,” katanya.
Jelasnya, perpecahan dalam PH dan Umno akan hanya mendorong pengundi Melayu ke arah PAS.
Katanya, PH yang terdiri dari PKR, DAP, Amanah dan Upko gagal mencapai persetujuan bagi membentuk gabungan besar pembangkang seperti dalam kempen pilihan raya 2018.
“Di satu pihak lagi, pergeseran berlaku antara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengawal parti itu.
“Berbeza dengan parti lain, ideologi Islam dibawa PAS akan menarik orang Melayu kerana apabila berdepan keadaan tidak pasti, golongan pengundi itu lebih terdorong kepada agama.
“Apabila orang Melayu semakin tua, mereka juga mula berfikir tentang Allah dan bagaimana PAS menjadi penyelamat mereka.
“Ramai pengundi Melayu berusia pula di negeri majoriti Melayu, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang yang menjadi bank undi parti konservatif, dan ia hanya akan menguntungkan PAS,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata PAS telah berubah selepas mengecap kuasa apabila menyertai pentadbiran Perikatan Nasional.
“Ini bukan PAS yang saya kenal pada tahun 1960-an. Ini PAS yang mahu kuasa kerana mereka sudah mengecap kuasa.
“Saya masih rapat dengan mereka tetapi saya (tolak usaha mereka ambil alih pentadbiran negara). Sebab itu kita perlukan generasi baharu,” katanya.
Mengulas Umno, Daim melihat parti itu yakin dapat menang lebih separuh dari 165 kerusi di Semenanjung.
“Sesetengah penganalisis Umno percaya mereka boleh menang hingga 85 kerusi. Tapi itu bermaksud mereka perlukan Sabah dan Sarawak,” katanya. – Malaysiapost

