DATUK Seri Najib Razak menyindir PKR, sebagai ‘gentlemen’ kerana calon bertanding dalam pemilihan parti itu khususnya bagi jawatan Ketua Cabang Ampang boleh ditukar ganti.
Kenyataan Najib itu susulan kejayaan penyanyi rap, Altimet yang diumum sebagai Ketua Cabang Ampang selepas berlaku tiga kali pengiraan dengan membabitkan tiga pemenang berbeza.
“‘Gentleman’ betul pemilihan PKR. Semua diberi peluang untuk bergilir-gilir menang.
“Mula-mula Altimet dan Datuk Hans Isaac kalah. Daing Muhammad Reduan Bachok menang. Selepas forensik audit, Altimet dan Daing Muhammad kalah. Hans Isaac menang.
“Selepas pengiraan semula, Hans Isaac dan Daing Muhammad kalah. Altimet menang,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, Altimet diumumkan sebagai Ketua PKR Cabang Ampang selepas kiraan semula undi dibuat.
Komposer dan penyanyi rap itu menewaskan selebriti, Hans Isaac dengan kelebihan sembilan undi.
Sebelum itu, pengundian berkenaan dilakukan semula selepas Altimet menuntut kiraan semula selepas meraih 746 undi, tewas tipis dengan dua undi kepada Hans.
Menurutnya, kiraan semula itu dibuat selepas berbincang dengan Hans, yang setuju bahawa kemenangan itu terlalu tipis.
Kiraan semula undi bahagian Ampang dibuat pada 29 Jun lalu selepas PKR juga mendapati pemenang asal, Daing Muhammad disabitkan dengan perbuatan membeli undi ketika berkempen. – Malaysiapost

