VETERAN DAP Lim Kit Siang mendakwa sekiranya Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ketika ini pasti beliau tidak akan membiarkan skandal 1MDB terus menghantui Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sambil mengimbau sejarah 43 tahun lalu, Kit Siang memetik ucapan Perdana Menteri Malaysia ketiga itu yang membayangkan Malaysia akan musnah jika terus dipimpin oleh pemimpin yang tidak amanah.
“Pada tahun 1979, dalam Perhimpunan Agung Umno, Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn, memberikan amaran yang Malaysia akan musnah sekiranya pemimpinnya ‘tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup’ dan menyatakan harapan supaya skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta ketika itu akan menjadi ‘pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain, termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh kerajaan.
“Malangnya, amaran Hussein Onn 43 tahun lalu yang mengatakan Malaysia akan musnah sekiranya pemimpinnya ‘tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup’ ini tidak diendahkan.
“Dan kini akan dibuktikan tepat sekiranya tidak ada penetapan semula hala tuju dasar dan prinsip pembangunan negara untuk mengeluarkan Malaysia dari trajektori sebuah kleptokrasi sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad yang akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kit Siang berkata demikian sebagai maklum balas berkenaan wawancara terkini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Asia Nikkei yang kemudiannya dipetik akhbar dengan tajuk ‘Perdana Menteri Malaysia berharap untuk mengetepikan skandal 1MDB dalam pilihan raya akan datang’.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, setakat ini tiada seorang pun pemimpin Umno yang menongkah arus sekali gus menyerupai ketokohan Tun Hussein Onn.
“Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn, tidak akan ‘mengetepikai’ skandal 1MDB, sebaliknya beliau akan mengecamnya sekuat-kuatnya untuk memastikan negara tidak terus terkesan dengan skandal 2MDB, 3MDB, dan 4MDB di masa hadapan.
“Amatlah tragis melihat tidak ada tokoh seperti Hussein Onn di dalam pimpinan tertinggi Umno hari ini.
“Siapakah yang akan tampil ke hadapan di dalam Umno untuk menjadi Hussein Onn hari ini sebelum Umno dan Malaysia musnah?” katanya. -Malaysiapost

