MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad mengesahkan klip video seorang wanita menghina kesucian Islam dalam siasatan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menghina kesucian agama Islam.
“Jika engkau tidak merasa malu, maka buatlah sesuka mu.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)
“Isu video tular wanita yang didakwa mempersenda dan menghina kesucian agama Islam sudah dalam tindakan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
“Saya telah meminta pihak Jawi untuk mengambil tindakan berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara itu, kelab komedi terbabit mengutuk sekeras-kerasnya klip video yang menghina kesucian Islam tersebut.
Menurut kenyataan Crackhouse Comedy Club, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini.
“Untuk makluman awam, selepas berlakunya persembahan tersebut, individu berkenaan telah dilarang daripada kembali ke Crackhouse Comedy Club.
“Crackhouse Comedy Club telah memfailkan laporan polis mengenai insiden ini di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, klip video memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran telah tular di media sosial, hari ini.
Menerusi video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit muncul atas pentas dengan imej wanita muslim iaitu memakai baju kurung lengkap bertudung sedang menampilkan persembahan komedi.
Dia kemudian memperkenalkan dirinya serta mengakui sebagai seorang muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, sebelum berhenti berucap seketika bagi menanggalkan satu persatu baju kurung dan tudung. – Malaysiapost

