PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Awang menegaskan tiada sebarang perjanjian berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya Abdul Hadi berkata sejak awal penubuhan kerajaan sedia ada, tiada persetujuan serta sebarang keputusan dibuat berhubung pelantikan jawatan tersebut.
“Kita masih lagi berpegang pada awal-awal penubuhan kerajaan tak ada Timbalan Perdana Menteri. perbincangan ada tetapi tidak ada keputusan kerana kita masih sibuk dengan urusan-urusan rakyat
“Tak ada janji mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri (seperti didakwa Bersatu). Kita bincang tapi tidak ada keputusan,” katanya kepada media hari ini.
Pada masa sama, katanya, PAS berpendirian jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak perlu kerana apa yang penting adalah usaha menyelesaikan masalah rakyat.
“Kita masih lagi (utamakan) selesai masalah rakyat, kita (PAS) kekal tidak ada Timbalan Perdana Menteri, itu cadangan awal kita.
“Pilihan raya pun dah dekat jadi tak perlu ada Timbalan Perdana Menteri, jalankan tanggungjawab masing-masing saja,” katanya lagi.
Baru-baru ini dalam satu temubual bersama portal tempatan, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata perbincangan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri baru-baru ini bukan sesuatu yang baharu.
Ini kerana dakwanya, jawatan itu adalah perjanjian yang dibuat antara PN dengan Ismail Sabri sebelum beliau dilantik Perdana Menteri. – Malaysiapost
Kredit Foto: Media Presiden PAS

