15 pelajar subjek Sejarah batal boleh fail semakan kehakiman

0
2

SERAMAI 15 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sekolah Menengah Sultan Alam Shah yang kekal menerima status ‘batal’ bagi subjek Sejarah, disaran memfail semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi jika mendapati berlaku ketidakadilan.

Perkara itu disaran Pengerusi Suara Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan yang berkata mereka harus memfailkan semakan tersebut dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan diterima.

“Bagi 15 pelajar yang terlibat, jika mereka merasakan berlaku ketidakadilan, apa yang mereka perlu buat ialah memfailkan semakan kehakiman (judicial review) di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Jawatankuasa Khas Rayuan Kes Salah Laku Calon Peperiksaan SPM 2021 Lembaga Peperiksaan (LP) kerana menolak rayuan mereka.

“Saya doakan kes ini dapat diselesaikan segera. Ini melibatkan masa depan pelajar-pelajar tersebut.

“Sesiapa yang terlibat secara langsung atau tidak, jangan tutup mata, telinga dan mulut, sila tampil memberi kesaksian dan bantu supaya keadilan dapat diberikan,” katanya di Facebook, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial 15 pelajar cemerlang gagal mendapat sijil SPM kerana didakwa membawa telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan kertas Sejarah.

Difahamkan pelajar terbabit secara tidak sengaja terbawa telefon bimbit kerana peperiksaan tersebut bermula lewat dan suasana menjadi kelam-kabut.

Susulan itu, Ketua Pengawas didakwa gagal memberi peringatan kepada pelajar mengenai larangan membawa telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan.

Namun semasa peperiksaan berlangsung, Ketua Pengawas membuat pengumuman kepada pelajar yang terbawa telefon bimbit, dan mengarahkan mereka menyerahkannya dengan berjanji tidak dikenakan tindakan.

Mendengar arahan dan janji itu, kesemua 15 pelajar dengan rela hati menyerahkan telefon bimbit masing-masing dan meneruskan menjawab soalan seperti biasa.

Pada 23 Jun lalu, Jawatankuasa Rayuan Kes Salah Laku Calon Peperiksaan SPM 2021 LP, bermesyuarat bagi membincangkan rayuan yang dibuat.

Mereka sepakat mengekalkan keputusan status ‘batal’ ke atas mata pelajaran Sejarah bagi kesemua 15 calon yang terlibat.

Rayuan kedua menyusul dan sekali lagi ditolak jawatankuasa terbabit pada 3 Julai lalu yang memutuskan untuk mengekalkan status tersebut.

Mengulas lanjut, Wan Azliana berkata, hukuman membatalkan keputusan peperiksaan atas kesalahaan membawa telefon bimbit dan tidak memberi pelajar terbabit sijil peperiksaan adalah kezaliman.

“Saya difahamkan mereka adalah dalam kalangan pelajar cemerlang dan ada antara mereka memperoleh 8A. Saya juga difahamkan mereka tidak mempunyai masalah disiplin sebelum ini.

“Ingin saya berkongsi mengenai hukuman dijatuhkan dalam beberapa kes buli. Ada kes pembuli hanya digantung sekolah selama 14 hari, walaupun mangsa cedera parah dan mengalami kecederaan kekal,” katanya.

Menurutnya, hukuman dijatuhkan ke atas pembuli itu jelas tidak setimpal dengan kesalahan dan perbuatan dilakukan ke atas mangsa.

Susulan itu beliau mendesak agar garis panduan kaedah hukuman terhadap pelajar sekolah disemak semula. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here