Insiden jemaah haji terkandas di KLIA perlu disiasat – Idris Ahmad

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung isu jemaah haji yang dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau menegaskan, sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak yang terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.

Menurutnya, Ia sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak berulang lagi kes sedemikian.

“Saya mengambil maklum berkenaan isu bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA dan Hotel Movenpick KLIA melibatkan hampir 400 orang.

“Saya juga telah dimaklumkan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap perkara ini dan tindakan pihak berkuasa juga telah dimulakan bagi proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menzahirkan rasa kecewa mengenai insiden itu yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ianya melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji.

“Saya meminta rakyat Malaysia terutamanya umat Islam berwaspada dan berhati-hati dalam kes seperti ini dan sentiasa mendapatkan nasihat daripada pihak Tabung Haji walaupun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan haji.

“Saya memohon kepada pihak yang teraniaya dan seluruh keluarga yang terlibat agar tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah untuk bermunajat dan memanjatkan doa bagi mendapatkan keredaan Allah, walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Mekah,” katanya.

Terdahulu media melaporkan seramai lebih 400 jemaah haji terpaksa melupakan hasrat mereka menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini berikutan masih terkandas di KLIA, malam tadi.

Difahamkan ada dalam kalangan jemaah berkenaan yang tiba di Kuala Lumpur sejak 28 Jun lalu, namun penerbangan ditangguhkan atas alasan tertentu. – Malaysiapost

Kredit Foto: Twitter Fareez Azman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here