Usahawan Halal Mart bimbingan MARA raih nilai jualan RM50 juta setahun

0
1

PENGUSAHA Halal Mart meraih nilai jualan RM50 juta menerusi 50 jenis produk yang dipasarkan dalam tempoh setahun sejak mengikuti Program Pembangunan Peruncitan di bawah bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kejayaan itu dicatat 14 usahawan Halal Mart MARA sekali gus membuktikan industri peruncitan merekod pertumbuhan memberangsangkan walau dalam cabaran ekonomi era pandemik Covid-19.

“Program Halal Mart ini satu program pemadanan produk antara pengeluar produk Industri Kecil Sederhana (IKS) bersama pengusaha pasar raya bagi membantu pengeluar memasarkan produk ke pasaran tempatan.

“Bagi fasa pertama sebanyak 14 usahawan pengusaha Halal Mart dipilih oleh MARA dan telah menampakkan hasil yang amat positif kepada usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Pembangunan Peruncitan Halal Mart di MISA Frozen, Taman Desa Cempaka, di Nilai hari ini.

Jelas Mahdzir, MARA telah menyalurkan dana pembiayaan serta latihan berjumlah hampir RM5 juta kepada 14 usahawan terbabit.

MARA katanya, menyediakan platform perniagaan peruncitan itu bukan sahaja untuk memperkasa kedai serbaneka tetapi secara tidak langsung menyediakan tempat atau ruang untuk usahawan IKS memasarkan produk mereka.

Pengusaha Halal Mart tambah Mahdzir, telah melalui siri latihan keusahawanan khas yang disediakan oleh pihak MARA bersama pakar dalam industri berkaitan.

“Siri latihan itu turut meliputi pengurusan operasi syarikat, sistem kewangan, kemudahan pembiayaan dan khidmat perundingan.

“Jadi, saya harap di masa hadapan kita akan dapat wujudkan lebih banyak kedai serbaneka berkonsep halal terutama di luar bandar yang boleh dijadikan pemangkin pembangunan ekonomi mereka, sekali gus mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat”, kata Mahdzir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here