PENGACARA popular, Datuk Mizal Zaini atau AC Mizal kini membuka stesen televisyen dengan rangkaian media dan hiburan terbaharu di bawah jenama SUKE TV.
Memetik laporan Utusan Malaysia, tiga bulan menjalankan operasi sepenuhnya, SUKE TV, AC Milan bersyukur merealisasikan impiannya meskipun menerima banyak sindiran termasuk dari rakan sendiri.
“Memang keadaan itu berlaku. Marah itu ada, tapi itu menjadikan saya lebih bersemangat. Sebelum saya mula SUKE TV ini, ketika itu, ia percubaan kali terakhir saya. Saya dah nak pulangkan lesen dah.
“Lesen itu sudah ada sebelum saya mula lagi dan kena bayar setiap tahun kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Terus-terang, ketika itu, saya dah tahap berserah betul-betul kepada Tuhan. Ingat lagi, Jun tahun lepas, saya dah betul-betul putus asa.
“Bila tak beroperasi, MCMC akan tarik balik lesen. Tetapi ternyata Allah itu Maha Mendengar akan rintihan hamba-Nya, patut pulangkan lesen pada Jun, tetapi Allah gerakkan misi dan visi saya ini bermula April lalu,” katanya.
Kata AC, dirinya juga pernah dibelenggu dengan perasaan malu dan sakit hati kerana orang di sekeliling memandang rendah usahanya itu namun bersyukur kerana isterinya, Datin Emylia Rosnaida sentiasa meletakkan kepercayaan kepada dirinya.
“Saya buka SUKE TV ini prosesnya lima tahun. Tapi sebab modalnya besar, baru kini dapat bantuan pinjaman kewangan daripada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV).
“Bila mereka sudi beri pinjaman, bermakna idealogi dan visi saya ini boleh diterima sebab MDV sangat teliti dalam menilai.
“Di sini saya beri peluang pekerjaan. Kalau tak ada job depan kamera, boleh buat benda lain, terlibat di belakang tabir. Jadi dapatlah kita lihat yang industri ini berkembang, bukan asyik timbul kisah artis susah, industri susah. Sampai orang nak sertai industri pun takut,” katanya.
AC turut memaklumkan, SUKE TV mengamalkan konsep terbuka dan idea segar dalam penghasilan rancangannya sesuai dengan citarasa dan keperluan khusus penonton Malaysia.
Ia menyiarkan pelbagai program termasuk program beli-belah tempatan yang menampilkan selebriti, pempengaruh dan usahawan tempatan di mana penonton boleh membeli-belah secara langsung sambil menonton TV, 24 jam sehari di myFreeview, rangkaian penyiaran digital tanpa langganan untuk TV yang pertama di Malaysia.
Antara program disiarkan ialah SUKECele, program perdana SUKE TV yang menampilkan selebriti menjual produk mereka kepada penonton.
SUKE TV juga berhasrat memperkasa pangkalan pelanggan untuk PKS tempatan di seluruh negara melalui saluran TV percuma sambil mencipta aliran pendapatan baharu untuk penghibur tempatan yang terjejas oleh pandemik. – Malaysiapost

