HASIL ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu Lori yang melanggar 11 kenderaan lain di laluan Johor Bahru – Woodlands di Tambak Johor pagi tadi, mendapati lelaki berusia 34 tahun itu negatif dadah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap kemalangan berkenaan yang berlaku pada jam 9.25 pagi tadi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan masing-masing sebuah lori, van dan bas serta sembilan kereta, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Dalam kejadian itu lori berkenaan dipandu lelaki tempatan yang membawa mustang habuk batu sebelum dipercayai hilang kawalan lalu melanggar 11 kenderaan di hadapannya.
“Kenderaan terbabit kemalangan itu adalah enam kenderaan warga asing dan enam lagi kenderaan warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian break lalu melanggar kenderaan di tempat kejadian.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaituemandu secara melulu dan membahayakan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000.
“Polis memohon orang ramai yang melihat kejadian kemalangan itu untuk tampil dan membuat laporan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zulpaka Bambo di talian 014-8861791,” katanya. – Malaysiapost

