POLIS kini memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan pasangan suami isteri yang ditemui sebuah rumah di Taman Bercham Aman, Ipoh.
Ng Chun Hon, 64 dan isterinya Ooi Tin Lu, 59, ditemukan meninggal dunia di ruang tamu rumah berkenaan dalam keadaan berlumuran darah, manakala suspek yang diburu adalah adik kepada mangsa lelaki dikenali sebagai Ng Chun Ming, 61.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata mayat suami isteri itu ditemui oleh abang mangsa lelaki yang hadir ke Balai Polis Bercham pada jam 8.50 pagi tadi untuk memaklumkan penemuai itu
“Setibanya pasukan polis tiba bersama paramedik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati lelaki dan wanita terbabit tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
“Kedua-dua mangsa ditemukan berdekatan di ruang tamu dengan lelaki dalam keadaan tertiarap manakala wanita tersandar pada dinding yang disahkan sudah meninggal dunia,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurutnya, siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa maut akibat cedera parah pada bahagian kepala kerana senjata tajam dan objek tumpul.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan punca kematian, kita mempercayai mangsa meninggal dunia malam tadi. Sehingga kini kita masih belum menemui senjata yang digunakan suspek.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya sambil memaklumkan mangsa lelaki seorang mekanik dan isteri adalah suri rumah.
Menurutnya, suspek menghilangkan diri bersama kenderaan jenis Proton Saga milik mangsa wanita dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah.
Beliau berkata, ketika kejadian ibu mangsa lelaki berusia 90 tahun yang sudah uzur dan berkerusi roda juga berada di rumah berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost

