SEBUAH kilang memproses makanan di Sikamat, Seremban, diserbu hari ini kerana dipercayai menyimpan minyak masak paket bersubsidi tanpa kebenaran.
Hasil serbuan itu, KPDNHEP merampas 612 kilogram minyak masak paket bersubsidi dan lima tong minyak masak (17kg).
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Shamsudin berkata pemeriksaan mendapati kilang tersebut tidak mempunyai kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan minyak masak di premisnya.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggar RM1,625,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Premis itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua minyak disita untuk siasatan lanjut.
Abd Muis berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi seumpama itu untuk membanteras aktiviti menyorok barang kawalan dan memastikan bekalan terutama barang makanan sentiasa mencukupi serta mudah diperoleh pengguna pada harga berpatutan.
“Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga diminta menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDNHEP melalui saluran WhatsApp 019-2794317 atau 019-8488000,” katanya. – Malaysiapost

