Pengurangan kadar sewa penjaja, peniaga kecil di ibu negara dilanjut 6 bulan

0
1

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju melanjutkan pengurangan kadar sewa selama enam bulan lagi kepada penjaja dan peniaga kecil.

Timbalan Menteri KWP, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata DBKL telah memberi inisiatif pengurangan kadar sewa kepada para peniaga dan penjaja kecil bermula Januari 2022 sehingga Jun 2022.

“Walaupun bermula 1 April 2022 negara memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’, masih terdapat rungutan daripada penjaja dan peniaga kecil tentang bebanan hidup yang terpaksa mereka tanggung akibat impak ekonomi yang baru memasuki proses perkembangan secara berperingkat.

“Namun bagi mengurangkan bebanan dan menambah nilai aliran wang dalam kalangan peniaga dan penjaja kecil ini, KWP dan DBKL bersetuju melanjutkan pengurangan kadar sewa selama enam bulan lagi bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jalaluddin berkata, ia melibatkan 5,766 akaun dalam kategori pasar berbangunan dan pusat penjaja DBKL, dengan anggaran pengurangan hasil sebanyak RM3,072,447 untuk tempoh pelanjutan pengurangan kadar sewa berkenaan.

“Pihak KWP dan DBKL berharap inisiatif pelanjutan ini mampu membantu peniaga dan penjaja kecil terlibat untuk terus mengoptimumkan operasi perniagaan, sekali gus membantu mengurangkan bebanan hidup di ibu kota,” katanya.

Jalaluddin juga menjelaskan, terdapat 10 bentuk bantuan dan inisiatif telah diberikan di bawah kelolaan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP), DBKL yang menelan kos atau pengurangan hasil sebanyak RM31,765,067.26. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here