CADANGAN membina semula rumah Mat Kilau perlu dinilai dan dilakukan dengan berhati-hati, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, kajian mendalam perlu dilakukan terlebih dahulu, termasuk mengenalpasti tapak bersesuaian sebelum memulakan kerja pembinaan terbabit.
“Kita sedang fikirkan sebab kita tidak boleh buat keputusan terburu-buru sebab Mat Kilau ni, semasa dia nak meninggal tu dia pindah ke Kuantan (Jalan), Gambang rasanya daripada rumah abangnya.
“Jadi kita kena pilih yang mana satu (lokasi) sesuai dan kita mungkin boleh bekerjasama dengan penerbit filem itu (Studio Kembara) kerana mereka pun mengaut keuntungan yang tinggi.
“Mungkin boleh ‘share’ ke atau suruh mereka buat,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan surat lantikan program Pahang Talent di Kuantan, hari ini.
Seramai 12 graduan dari pelbagai universiti tempatan dipilih menyertai program selama 12 bulan itu.
Setiap peserta akan ditempatkan di pejabat EXCO kerajaan negeri sepanjang tempoh berkenaan dan mereka diberikan elaun RM2,500 sebulan.
Idea membina semula rumah tokoh pahlawan Pahang itu disuarakan pelbagai pihak susulan kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara.
Filem arahan Syamsul Yusof itu sudah mengutip kira-kira RM49 juta sejak ditayangkan pada hujung bulan lalu.
Sebelum ini, seorang pewaris Mat Kilau menyatakan persetujuan dengan cadangan sebuah galeri tokoh pahlawan itu diwujudkan di Kuantan sebagai rujukan pencinta sejarah pahlawan kebanggaan rakyat Pahang itu.
Cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, berkata, pembukaan galeri itu perlu dibina di tapak lain bukannya di tanah pusaka milik Mat Kilau. – Malaysiapost

