Usaha pecah belah pimpinan Umno, BN giat dijalankan, dakwa Shamsul Anuar

0
1

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mendakwa usaha memecah belah pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sedang giat dilakukan.

Ia susulan laporan sebuah media antarabangsa yang mendakwa Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan percaya Datuk Seri Najib Razak sepatutnya dipenjarakan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sehubungan itu, Shamsul Anuar mengingatkan kepimpinan serta ahli Umno agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam apa jua tindakan.

“Putar belit, memang kepakaran mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Shamsul Anuar turut menegaskan hubungan Mohamad dengan Najib amat baik dan meminta semua pihak tidak memutar belit kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau tersebut

“Jadi, kepada semua ahli dan pendokong parti, berhati hati kerana usaha memecah belahkan pimpinan Umno BN sedang giat dilakukan,” katanya.

Semasa wawancaranya bersama Asia Times, Mohamad dilaporkan berkata Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dihukum penjara.

Memetik laporan Asia Times, dengan tajuk ‘Exclusive: UMNO’s No 2 thinks Najib should go to jail’ Mohamad juga dilaporkan berkata kelesuan negara ketika ini berpunca daripada kegagalan UMNO untuk ‘memberitahu kebenaran’ mengenai skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun Mohamad menepis laporan tersebut, sebaliknya menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Najib sepatutnya mendapat penghakiman yang adil dan bukannya pendakwaan terpilih.

“Sekiranya saya percaya Najib tidak mendapat perbicaraan adil, bagaimana boleh saya katakan beliau patut masuk penjara.

“Ia tidak masuk akal,” katanya kepada Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here