Najib sindir Bersatu guna PIBG untuk program PN

0
1
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak mempersoalkan cabutan bertuah yang sepatutnya diberi kepada ibu bapa yang hadir pada mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) peringkat daerah Tanah Merah, tetapi diberi kepada orang ramai pada majlis Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu menyindir Bersatu kerana sanggup menggunakan mesyuarat PIBG untuk kepentingan majlis anjuran PN.

“Hadiah utama pelancaran juga sebuah Perodua Axia? Dan diberi oleh mereka yang berbaju PN. Kebetulan ini,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial surat daripada Kementerian Pendidikan (KPM) yang menjemput PIBG di seluruh daerah Tanah Merah menyertai mesyuarat secara kelompok pada Sabtu lalu.

Dalam surat tersebut turut diberitahu pelbagai hadiah cabutan menarik ditawarkan selain hidangan 100 ekor kambing golek kepada ibu bapa dan guru yang hadir.

Malah, hadiah utama cabutan bertuah merupakan Perodua Axia bakal dimenangi.

“Surat dari kementerian. Dikatakan acara anjuran kementerian. Hidangan 100 ekor kambing golek serta cabutan bertuah ditawarkan kepada ibu bapa untuk hadir mesyuarat PIBG besar-besaran.

“Hadiah utama Perodua Axia. Lima motosikal, 10 ekor lembu, 10 TV, 20 telefon bimbit dan 200 hamper.

“Siapa yang bayar? Kementerian ataupun PN? Tapi tarikh dan lokasi acara tersebut sama dengan pelancaran PN Kelantan?” kata Najib lagi.

Najib berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang sebelum ini menafikan majlis Pelancaran PN Kelantan menawarkan hadiah cabutan bertuah selain pemberian jam tangan G-Shock dan payung kepada orang ramai.

Sebaliknya Ikmal Hisham berkata, kehadiran ramai pengunjung ke program anjuran PN itu disebabkan usaha pihaknya melakukan publisiti dan hebahan seminggu lebih awal.

Dalam pada itu, Najib turut ‘menyakat’ Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berikutan ‘kemewahan’ dipamerkan pada mesyuarat PIBG daerah Tanah Merah itu.

“Nampaknya sekolah-sekolah kebangsaan Malaysia sudah kaya-raya.

“Jangan hanya dibuat di Tanah Merah. Buatlah juga di semua sekolah kebangsaan dalam negara. Ini baru adil. Betul tak, Dr Radzi Jidin?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here