Laksana gaji minimum, tingkat kenaikan tahunan penjawat awam

0
1

LEBIH 700,000 kakitangan awam masih bersandarkan gaji pemula sebanyak RM1,200 dengan ada antaranya menerima kenaikan gaji tahunan hanya RM80 setahun.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi, berkata mereka terdiri daripada kakitangan awam kumpulan pelaksana iaitu gred gaji 40 ke bawah, terpaksa melakukan dua pekerjaaan untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata, selain itu ada antara mereka yang sudah bekerja selama 12 tahun namun gaji yang diterima hanya sekitar RM1,800 (N11).

“Di tengah-tengah keriuhan membicarakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dalam pasaran swasta, tidak ramai yang tahu lebih 700,000 kumpulan pelaksana kakitangan awam iaitu gred gaji 40 ke bawah masih bersandarkan gaji pemula pada RM1,200 sahaja.

“Ramai yang terpaksa buat dua kerja. Balik pejabat sebelah petang hingga malam bawa grab, teksi, penghantar dan lain-lain.

“Hutang keliling pinggang, anak-anak ramai macam terbiar. Malah ramai hadapi tekanan hidup dan alami masalah kesihatan mental terutamanya yang hidup di kota dengan harga barang makin meningkat naik,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Asyraf Wajdi mengadakan pertemuan dengan wakil kesatuan-kesatuan pekerja am dan kakitangan pelaksana dari Gabungan Kesatuan Sekerja Universiti-Universiti Awam Malaysia (GAKUM) di pejabatnya hari ini.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno melalui Sekretariat Pekerja akan bawa memorandum daripada GAKUM untuk disampaikan kepada pihak berwajib termasuk ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk perhatian lanjut.

“Antaranya termasuk cadangan pelaksanaan gaji minimum, menaikkan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan lain-lain bagi membela nasib mereka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, kenaikan kos sara hidup juga menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak dapat menampung perbelanjaan harian jika hanya bergantung pada satu pekerjaan ketika ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here