Suri rumah curi Milo dipenjara 14 bulan

0
1

SEORANG suri rumah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Marang, hari ini, atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya pada 25 Mei lalu.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Suhaini Mohd, 43, yang juga penagih dadah membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan fakta kes, pemilik pasar raya mengesan aksi mencurigakan Suhaini disyaki mencuri menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), lapor Utusan Malaysia.

Dia kemudiannya mengekori tertuduh sebelum wanita itu nekad melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dinaikinya di Hentian Bas Marang.

Tertuduh berjaya ditahan polis di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun berpandukan nombor pendaftaran motosikal terbabit pada 6 Jun lalu.

Suhaini yang mempunyai empat orang anak sebelum ini mempunyai tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya pada 2019 dan 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwaan, Asisten Superintenden Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here