Kumpulan kalah yang rapat dengan Anwar mahu saya kalah – Rafizi

0
1

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa tuntutan mengadakan audit digital hanyalah permainan segelintir anggota parti yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, mereka yang terlibat dalam tuntutan tersebut mempunyai hubungan rapat rapat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, mereka merasakan boleh mempengaruhi keputusan untuk memastikan beliau tidak disahkan sebagai Timbalan Presiden.

“Saya telah menjelaskan secara dalaman pandangan saya bahawa motif sesetengah pihak seperti Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terus mempersoal pemilihan parti adalah serampang dua mata.

“Pertama, untuk cuba mengubah keputusan supaya saya dan beberapa orang lain yang menang bersama saya tidak disahkan oleh Kongres Nasional.

“Kedua, untuk membina persepsi kononnya kemenangan saya dengan jurang besar disebabkan manipulasi besar-besaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata hakikatnya, mereka tidak boleh menerima kenyataan bahawa sentimen akar umbi sangat berbeza dengan bacaan mereka yang berlegar sekitar Anwar.

Katanya, sebaik mengumumkan bertanding Timbalan Presiden, beliau membuat kaji selidik terperinci untuk memahami sentimen dan kehendak anggota parti akar umbi.

Kaji selidik itu tambahnya, juga menyelami pandangan pengundi terhadap PKR.

“Dapatan kaji selidik adalah jelas. Sokongan kepada saya dalam kalangan anggota akar umbi adalah 85 peratus berbanding saingan saya.

“Isu-isu yang saya bawa selari kehendak anggota akar umbi. Sebab itu keputusan pemilihan mirip kepada sentimen akar umbi: saya menang lebih 60% undi popular dan 75% dari semua cabang.

“Selepas keputusan diubah akibat audit digital, ia masih tidak boleh mengubah sebahagian besar keputusan pemilihan kerana sentimen akar umbi telah diterjemahkan semasa pemilihan,” katanya.

Bagaimanapun Rafizi berkata, malangnya kumpulan yang kalah tidak boleh menerima kekalahan dan terus mengasak dan mengelilingi Anwar untuk mengadakan pemilihan semula atau setidak-tidaknya membuat audit digital untuk mencapai hasrat mereka.

“Saya telah menyatakan pendirian bahawa parti akan terperangkap dengan permainan politik segelintir sedangkan majoriti telah buat keputusan yang diterima dengan baik rakyat umumnya.

“Berlatarbelakangkan ini, saya cukup simpati dengan keadaan Saudari Rodziah Ismail yang keputusannya sebagai Ketua Wanita bertukar di saat-saat akhir.

“Kami telah berbincang dan saya terharu dengan pendirian beliau bahawa parti mesti bergerak ke hadapan dan tidak terheret dengan permainan politik kelompok yang kalah,” katanya lagi.

Susulan itu, Rafizi berpendirian bahawa Kongres Nasional parti tidak boleh ditangguhkan lagi untuk melayan karenah segelintir calon yang kalah memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) boleh dipanggil bila-bila masa.

Katanya, keutamaan beliau sebagai Timbalan Presiden ialah untuk mempersiapkan pimpinan dan jentera parti berdepan lawan dalam PRU15.

“Sementara kita meneruskan agenda pengukuhan ke arah PRU15, segala ruang dalam parti perlu dibuka untuk membolehkan isu-isu ditimbulkan akibat pertukaran keputusan saat akhir ini terus disemak.

“Antara langkah utama saya sebagai Timbalan Presiden ialah meneliti keseluruhan proses audit digital yang mengakibatkan kecelaruan untuk memberi keadilan sewajarnya kepada semua pihak.

“Sebagai Timbalan Presiden, saya akan mengusahakan supaya satu tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti berniat mensabotaj parti dengan terus-menerus mengkritik pemilihan bertujuan melengahkan kepimpinan baru KEADILAN mengambil tempat,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here