WANITA warga emas maut selepas dipercayai ditikam di bahagian leher oleh anak kandungnya dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Melaka hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang juga pesara guru ditemui dalam bilik tidur kediamannya dalam keadaan berlumuran darah, lapor Astro Awani.
Mangsa yang baru kematian suami kira-kira sebulan lalu maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian leher dipercayai ditikam anak lelakinya berusia 40-an menggunakan sebilah pisau.
Saksi yang juga jiran berdekatan berkata, kejadian disedari selepas adik perempuan suspek yang turut berada dalam kediaman itu menjerit meminta tolong sebelum orang ramai membantu menahan suspek.
Dilaporkan pasukan polis dan unit forensik masih berada di lokasi kejadian. – Malaysiapost

