PENYANYI lagu ‘Widuri’, Bob Tutupoly menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun di Hospital Mayapada, Jakarta Selatan kira-kira jam 12.03 tengah malam tadi.
Berita sedih itu disahkan anak saudaranya, Erick kepada media Indonesia.
“Ya benar,” katanya ringkas kepada media CNNIndonesia.com.
Penyanyi legenda Indonesia itu menderita penyakit strok sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Isterinya, Rosmayasuti Nasution turut berkongsi berita duka pemergian suami tercinta yang dikahwini sejak 45 tahun itu.
“Damailah suami, papa, opa, oom kami yang tercinta,” katanya.
Bob atau nama lengkapnya Bobby Willem Tutupoly dilahirkan di Surabaya pada 13 November 1939 memulakan kerjaya seninya sebagai penyanyi sejak 1965 bersama kumpuan muzik, Pattie Bersaudara.
Selain Widuri, Bob turut dikenali menerusi deretan lagu-lagu hits lainnya seperti Lidah Tak Bertulang, Tiada Maaf Bagimu dan Tinggi Gunung Seribu Janji.
Kesihatan Bob mula terjejas sekitar tahun 2015 selepas menerima penghargaan AMI Legend di Anugerah Music Indonesia 2015 dan jarang muncul di khalayak umum.
Bagaimanapun, penyanyi itu sempat membuat membuat persembahan ketika majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-80 menerusi sebuah konsert muzik 80th Celebration Bob Tutupoly.
Selain menyanyi, Bob juga pernah membintangi beberapa filem seperti Penasaran (1977) dan Sebelah Mata (2008). – Malaysiapost

