AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 19 set bubu naga di perairan Batu Kawan, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong berkata rampasan dilakukan di kedudukan 1.6 batu nautika barat daya, sekitar jam 4.15 hingga 4.40 petang.
Menurutnya, pemantauan berterusan melalui rutin OP Pertiwi oleh bot ronda Maritim Pulau Pinang petang semalam, mengesan objek terapung yang mencurigakan di dua lokasi sebelum menemui 19 set bubu naga dipasang individu tidak bertanggungjawab.
“Kesemua bubu naga tersebut dirampas dengan anggaran nilai RM2,280 dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nak Rong berkata, penggunaan bubu naga itu diharamkan di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.
“Justeru, pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah tidak dibenarkan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. – Malaysiapost

