‘Mazlina buat perkara tidak betul, guna cek YAB, cop tanda tangan saya’ – Zahid

0
2

Nahar Tajri

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bertegas dengan pendiriannya bahawa bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly melakukan kecuaian ketika membuat pembayaran kad kredit bagi pihak dirinya menggunakan cek Yayasan Akal Budi (YAB) pada 2014.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika pemeriksaan balas peringkat pembelaan, Ahmad Zahid enggan bersetuju terhadap cadangan bahawa Mazlina mengambil tindakan yang betul dari segi tempoh masa dan amaun yang dibayar bagi pihaknya.

“Dia (Mazlina) buat perkara yang tidak betul kerana menggunakan cek YAB dan menggunakan cop tanda tangan saya ketika membuat bayaran itu,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid sebelum itu, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah ditunjukkan penyata kad kredit berkenaan walaupun pernah meminta Mazlina berbuat demikian beberapa kali.

“Saya tidak pernah ditunjuk apa apa penyata, beliau (Mazlina) juga tidak berbuat demikian walaupun diminta,”katanya.

Raja Rozila yang cuba mendapatkan pengakuan Ahmad Zahid mengulang pertanyaan yang sama beberapa kali namun tetap tidak dipersetujui Presiden Umno itu.

Ketika prosiding berlangsung peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik bangun dan meminta pihak merekodkan jawapan Ahmad Zahid yang memberi penjelasan lanjut terhadap jawapannya di mahkamah.

Selain Hisham, pihak pembelaan, turut diwakili Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Sepanjang prosiding berlangsung, Ahmad Zahid kelihatan tegas dan bersungguh-sungguh mempertahankan dakwaanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid mendakwa, Mejar Mazlina melakukan kecuaian tapi akhirnya beliau yang dihadapkan ke mahkamah.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika prosiding bela diri bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana YAB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here