PM adakan lawatan rasmi ke Turki esok

0
1
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2021. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan kepada media ketika keluar dari Istana Negara selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye bermula esok hingga 8 Julai 2022.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Perdana Menteri dijadual bertemu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Menurutnya, pertemuan sulung antara kedua-dua pemimpin ini akan memberikan peluang kepada mereka untuk meneliti perkembangan pelaksanaan Deklarasi Bersama mengenai Rangka Kerja Kerjasama Strategik yang dimeterai pada tahun 2014.

“Di samping itu, meneroka inisiatif baharu bagi meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin dalam pelbagai bidang ke peringkat yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, antara perkara utama yang akan dibincangkan semasa lawatan rasmi dalam kolaborasi dua hala termasuk kerjasama pasca Covid-19, pertahanan dan industri aeroangkasa serta usaha bersama dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Perdana Menteri juga akan bertemu dengan pemain-pemain utama industri Turkiye dalam usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan membuka ruang dan peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sempena lawatan berkenaan, Malaysia dan Turkiye dijangka akan memuktamadkan beberapa Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama pendidikan, kesihatan, media dan komunikasi, pelancongan kesihatan, dan juga kolaborasi perniagaan.

“Selain itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi bersama Keluarga Malaysia di Istanbul semasa majlis makan tengah hari esok,” katanya.

Rombongan Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri; Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Datuk Seri Dr Adham Baba,

Turut serta, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas): Datuk Dr Abd Latiff Ahmad; Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Wisma Putra berkata, lawatan berkenaan jelas menunjukkan kepentingan yang diletakkan oleh Malaysia terhadap hubungan dan kerjasama dengan Turkiya sebagai salah satu rakan Malaysia yang penting di Asia Barat.

Pada tahun 2021, Turki merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan perdagangan bernilai RM16.97 bilion dan projek yang telah dilaksanakan bernilai RM444.59 juta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here