PEMILIK sebuah syarikat pembekalan pakaian dan aksesori memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau menerima wang tunai RM250,000 pada pertengahan April 2020 daripada Penolong Bendahari Armada Bersatu.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Muhammad Naqib Ab Rahim, 29, berkata Rafiq Hakim Razali menyerahkan wang tersebut bagi tujuan simpanan dan beliau dimaklumkan sebarang perkembangan berkaitan wang itu akan menyusul kemudian.
Muhammad Naqib yang juga ahli Armada berkata, selepas Rafiq menyerahkan beg kertas itu dalam tempoh pantas, kelihatan beberapa ikatan wang kertas RM100 dalam beg tersebut.
“Perasaan saya agak terkejut kerana jumlah tersebut agak besar dan saya pula telah disuruh untuk menyimpan duit tersebut.
“Semasa penyerahan tersebut Rafiq tidak beritahu saya bahawa wang tunai tersebut adalah wang dari akaun rasmi Armada. Saya juga tidak bertanya daripada mana sumber wang tunai RM250,000.
“Saya beranggapan sumber kewangan ini adalah dari akaun Armada kerana wang tunai ini diberikan oleh Rafiq sendiri selaku Penolong Bendahari Armada,” katanya.
Muhammad Naqib adalah saksi kelapan perbicaraan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid hari ini.
Menerusi kenyataan bertulis itu, Muhammad Naqib berpendapat wang yang diserah kepadanya adalah wang yang sah dan mengikut tatacara pengeluaran yang betul.
Ini kerana beliau percaya Rafiq mempunyai kuasa untuk menguruskan wang Armada selaku Penolong Bendahari selain individu yang diberikan amanah untuk berurusan dengan pihak bank.
“Oleh itu saya tidak mempunyai perasaan curiga terhadap Rafiq dan wang tunai RM250,000 yang diserah kepada saya. Semasa penyerahan wang tunai RM250,000 dari Rafiq kepada saya dan saya sahkan bahawa pada ketika itu saya tidak membuat pengiraan terhadap wang tunai itu.
“Selepas Rafiq menyerahkan wang tunai tersebut, beliau keluar daripada kereta saya dan beredar untuk balik ke rumah saya di C32, Pv6 Taman Melati, Setapak di Kuala Lumpur. Saya tidak pernah menerima tempahan sebanyak RM250,000 daripada Armada sebelum ini
“Saya juga tidak bertanya kepada Rafiq kenapa beliau sendiri selaku Penolong Bendahari Armada tidak menyimpan wang itu kerana pada waktu penyerahan tersebut berjalan dengan pantas. Saya tidak terkejut kenapa saya dipilih untuk menyimpan wang tunai RM250,000 ini kerana saya juga merupakan salah seorang pembekal dan pembuat pakaian kepada Armada,” katanya.
Tambah Muhammad Naqib, beliau tidak mengetahui punca sebenar duit tersebut dan kenapa tujuan wang tersebut diberikan kepadanya untuk disimpan.
“Jadi, saya beranggapan wang tersebut adalah duit pendahuluan bagi pakaian-pakaian yang bakal ditempah oleh Armada kerana pihak Armada dan Bersatu pernah beberapa kali menempah pakaian dan cenderahati dengan saya.
“Saya telah memindahkan wang daripada paper bag dan saya masukkan ke dalam bag hiking berjenama Osprey dan saya letakkan di bawah katil bilik saya kerana saya merasakan termpat tersebut adalah yang paling selamat di rumah saya,” katanya. – Malaysiapost

