IMAGINASI adalah satu bentuk pemikiran yang membolehkan seseorang untuk melihat, mendengar dan merasakan sesuatu yang melangkaui dunia sebenar dan nyata. Ianya adalah merupakan satu keupayaan yang akan dapat memperluaskan persepsi, kefahaman, pandangan dan gambaran seseorang berdasarkan kepada simbol-simbol dan kata-kata yang bermakna di sekeliling kita.
Kemampuan dan kehebatan seseorang dalam merangsang dan membina daya imaginasinya adalah salah satu potensi manusia yang perlu diteroka dan dikembangkan. Kemampuan seseorang untuk berimaginasi adalah bersumberkan kepada pengalaman yang diperolehi di dunia yang nyata ini. Kemampuan berimaginasi ini adalah asas kepada pembentukan insan kerana melalui imaginasi, pengharapan terhadap kelangsungan kehidupan untuk masa depan dan akan datang akan terus berkembang dan dapat diperkukuhkan.
Begitu juga pendidikan, manusia yang tidak mampu lagi untuk berimaginasi akan mematikan proses pendidikan daripada terus hidup dan berkembang kerana imaginasilah yang mendorong manusia untuk terus mencari jawapan dan kebenaran melalui perkembangan ilmu dan pendidikan.
Pembelajaran yang bernilai adalah pembelajaran yang berkait dengan pengalaman seseorang. Melalui imaginasi, pembelajaran yang berasaskan kepada pengalaman seseorang dijadikan sebagai asas kepada penerokaan ilmu yang seterusnya. Ini kerana pelajar akan secara aktif dan kreatif terlibat dalam menggambarkan dan menjiwai kandungan yang dipelajari untuk diri mereka melalui pengalaman mereka sendiri.
Kurikulum yang tiada perkaitan emosi akan cenderung kepada aktiviti pembelajaran yang lebih kepada menghafal dan memuntahkannya semula sahaja. Namun begitu, pembelajaran yang hanya berasaskan kepada emosi tidak akan dapat dilakukan sekiranya guru hanya disuruh untuk memasukkan elemen emosi dalam aktiviti pengajaran mereka, atau dengan menyediakan prosedur yang perlu diikuti oleh guru.
Sebaliknya kefahaman guru terhadap sesuatu yang hendak disampaikan kepada pelajar mestilah melangkaui fakta dan kefahaman semata-mata. Malahan guru juga mestilah rela dan mampu untuk melibatkan peranan emosinya sendiri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Guru adalah kunci untuk merangsang minat pelajar melalui gabungan di antara emosi dan imaginasi. Gabungan ini telah mewujudkan satu kaedah yang diberi nama Emoginasi. Kaedah Emoginasi mewujudkan suasana pembelajaran yang menumpukan kepada konteks emosi yang menarik dalam bilik darjah. Peraturan utama dalam kaedah Emoginasi ini ialah dengan mengenal pasti unsur emosi pada setiap topik yang hendak diajar kepada pelajar.
Untuk memaksimumkan penglibatan dan pembelajaran pelajar, guru perlu mengenal pasti topik yang membangkitkan rasa ingin tahu pelajar. Pada satu peringkat, pelajar akan mengetahui sejauh manakah minat dan penguasaan guru itu sendiri terhadap sesuatu topik. Semangat guru secara umum dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk belajar.
Dalam kaedah ini, kebersamaan melalui penjiwaan guru dengan kurikulum dianggap sebagai pusat kepada pengajaran yang berkesan. Ini bukanlah satu pilihan sebenarnya, malah adalah satu langkah yang perlu diambil oleh setiap guru bagi memastikan proses pembelajaran akan lebih bermakna kepada pelajar. Penglibatan emosi guru dengan topik kurikulum adalah bahagian penting dalam semua pengajaran yang baik.
Gaya pengajaran ini akan dapat melahirkan pelajar yang sentiasa berfikir secara kreatif, kritis dan konstruktif, di samping sentiasa mengambil kira pendapat dan pandangan orang lain kerana setiap individu itu mempunyai pengalaman yang tersendiri. Melalui kepelbagaian tersebut, maka wujudlah kesedaran bahawa setiap daripada individu itu mempunyai ilmu dan nilai yang boleh dipelajari dan dikongsi bersama.
Melalui pembelajaran imaginatif juga, pelajar akan melibatkan diri mereka secara langsung dengan sesuatu yang akan dipelajari. Ini seterusnya akan dapat menimbulkan kesedaran dan minat pelajar untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan yang berkaitan kerana mereka merasakan sesuatu yang dipelajari itu adalah sebahagian daripada diri dan kehidupan mereka.
Oleh kerana pada masa kini, sumber untuk memperoleh pengetahuan amat mudah melalui perkembangan teknologi maklumat dan internet, maka kadang kala ilmu itu sudah tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang berharga kerana ianya terlalu mudah untuk diperolehi melalui penggunaan telefon pintar dan sebagainya.
Oleh yang demikian, bagi memastikan proses pembelajaran akan lebih menarik dan berkesan, pemfokusan domain afektif berbanding dengan domain kognitif yang selama ini dijadikan asas kepada proses pembelajaran perlulah diberi perhatian. Sejarah kehidupan manusia telah membuktikan bahawa kehebatan tindakan manusia itu berkait rapat dengan sentuhan emosi dan perasaan seseorang.
Oleh yang demikian, guru haruslah berupaya untuk mengaitkan emosi, perasaan dan diri pelajar itu sendiri dengan setiap perkara yang akan dipelajari. Guru tidak perlu lagi memaksa pelajar untuk belajar kerana melalui pembelajaran imaginatif potensi dan minat pelajar akan dapat dirangsang dan seterusnya pelajar itu sendiri yang akan berusaha untuk meneroka bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan yang telah berjaya ditimbulkan oleh guru terhadap diri pelajar itu sendiri.
Ini sebenarnya akan mengaktifkan daya imaginasi pelajar dan seterusnya melalui daya imaginasi inilah yang akan mendorong pelajar untuk mempelajari sesuatu perkara itu. Ini adalah selari dengan perkembangan ilmu pedagogi yang perlu lebih realistik dan berimpak.
Oleh yang demikian, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan kepada emosi dan imaginasi seseorang adalah merupakan satu proses pembelajaran yang perlu diberi perhatian bagi semua peringkat pendidikan, sama ada di peringkat prasekolah, rendah, menengah dan tinggi. Gaya pembelajaran ini juga adalah sesuai digunakan untuk semua mata pelajaran kerana setiap ilmu yang wujud adalah berkaitan secara langsung dengan kehidupan dan diri manusia ini sendiri yang terdiri dari akal, jiwa dan perasaan.
Dr Azli bin Ariffin
Penulis ialah Felo Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pedagogi (CPRI), Universiti Pendidikan Sultan Idris

