MANGSA banjir di Kampung Iboi, Baling berkongsi detik cemas dialaminya selepas hujan berterusan selama dua jam bermula petang semalam menyebabkan kediamannya dinaiki air.
Adam Mokhtar, 20, berkata, kejadian banjir kali ini dianggap paling terburuk dalam hidupnya apabila menyaksikan banyak kerosakan berlaku apabila kepala air turut menghanyutkan kayu.
“Air naik terlalu cepat hingga lebih satu meter, saya, ibu bapa bersama jiran terpaksa naik ke bukit di belakang rumah untuk selamatkan diri,” katanya.
Setakat ini, beliau masih tidak mengetahui keadaan di dalam rumahnya berikutan terputus bekalan elektrik selain kawasan sekitar rumah dipenuhi kayu.
“Sekarang kami berlindung di dalam masjid di kawasan bukit di belakang rumah saya… setakat ini rumah saya masih dalam keadaan baik, namun terdapat beberapa rumah jiran musnah akibat kejadian kepala air kira-kira jam 4.30 petang tadi.
“Jambatan di sungai berhampiran rumah juga musnah, semua orang rasa panik melihat kepala air petang tadi, kami hanya fikir untuk selamatkan diri,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Adam turut bersyukur kerana kedua ibu bapanya selamat dalam kejadian itu apabila mereka terlebih dahulu naik ke bukit.
Namun, beliau tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting dan barangan berharga di dalam rumah kecuali motosikal.
“Air banjir datang bersama lumpur, keadaan sekarang sangat gelap, saya bersama kira-kira 50 orang penduduk masih berada di dalam masjid.
“Air sudah surut kira-kira jam 5.30 petang tadi, tetapi kami tak dapat ke mana-mana dan masih tunggu untuk diselamatkan,” katanya yang tinggal kira-kira 200 meter dari Sungai Kupang.
Difahamkan kejadian banjir kali ini adalah kali ke lima pada tahun ini dan paling terburuk di kampung berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah itu dengan sekurang-kurang 20 rumah penduduk mengalami kerosakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang tadi, kawasan dilaporkan terjejas ialah Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang, selepas berlaku limpahan air sungai di kawasan berdekatan.

