MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) segera menyelaras bantuan Musa’adah bagi membantu mangsa kejadian banjir lumpur di Baling, Kedah.
Penyelarasan bantuan itu yang diketuai Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff akan ke kawasan berkenaan bersama pihak berkuasa negeri Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas.
Idris berkata, beliau kini berada di Mekah dan mengikuti perkembangan kejadian banjir lumpur yang melanda beberapa kawasan di daerah Baling menerusi media.
“Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan penduduk yang terlibat ujian itu.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Jakim untuk segera menyelaras bantuan Musa’adah bersama pihak berkuasa negeri bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Idris berkata, Jakim dan agensi hal ehwal bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang berkaitan telah diarah turun ke lapangan membantu pihak berkuasa negeri Kedah.
“Didoakan semua pihak yang terlibat dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian ini.
“Saya menyeru seluruh masyarakat termasuk jemaah haji di Makkah bersama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara,” katanya.
Semalam, hujan lebat selama tiga jam sejak 2 petang, mengakibatkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing.
Banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah itu kira-kira jam 6 petang telah menyebabkan beberapa mangsa terperangkap dan dilaporkan hilang. – Malaysiapost

