ARMADA Johor kesal dengan tindakan Datuk Seri Najib Razak menggesa Kerajaan Pusat untuk tidak melayan tuntutan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri serta menteri daripada Perikatan Nasional (PN).
Jelas Ketuanya, Muhd Shamsuddin Paijan, pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri disifatkan relevan bagi meningkatkan keupayaan Kerajaan Pusat dalam mentadbir urus serta membuat keputusan yang betul, tepat dan strategik berkaitan kepentingan rakyat, ekonomi mahupun negara.
Katanya, dalam suasana negara yang turut dipengaruhi peristiwa dunia sekarang, Perdana Menteri memerlukan sokongan seorang Timbalan Perdana Menteri untuk mengambil alih sebahagian tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan rakyat kepada kerajaan untuk dilunaskan dengan sempurna.
“Tanpa perlu melakukan rombakan, pelantikan seorang Timbalan Perdana Menteri pasti akan memperkuat dan memperkukuhkan lagi pasukan Kabinet yang sedang fokus untuk memastikan semua program bagi memulihkan sosioekonomi dan mensejahterakan rakyat menerusi inisiatif pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19, mencapai matlamat.
“Apatah lagi, kehadiran seorang Timbalan Perdana Menteri selain menteri daripada Perikatan Nasional (PN) seperti telah dijanjikan; akan membantu meningkatkan lagi kecekapan Kerajaan Pusat dalam menguruskan pelbagai isu serta mendepani siri cabaran baharu yang muncul seperti kenaikan kos barang keperluan, kemerosotan bekalan makanan serta keselamatan khususnya kesihatan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhd Shamsuddin turut menegaskan, kuota jawatan dalam Kabinet yang diberi kepada PN adalah hak mutlak parti itu dan sewajarnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub membuat lantikan segera.
“Ia kerana telah dipersetujui dan tidak berbangkit apabila Presiden Bersatu menuntutnya, maka tuntutan itu dicap sebagai desakan atau ugutan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau juga menyifatkan Najib mengalami ‘post power syndrome’ atau sindrom selepas berkuasa kerana sanggup mengganggu gugat Perdana Menteri daripada Umno sendiri.
“Selain mengkritik secara melulu terhadap Kerajaan Pusat yang ditadbir bersama PN dan Umno selaku peneraju Barisan Nasional (BN),” katanya.
Sementara itu, mengenai Majlis Pemulihan Negeri (MPN), beliau berpendapat bahawa keperluan dan keberkesanan penubuhan MPN itu mampu menggembleng kerjasama dan kepakaran Pusat untuk melancarkan lagi usaha memulihkan ekonomi secara bersepadu serta seragam dengan kerajaan Negeri.
“Pemulihan ekonomi serta kesejahteraan rakyat adalah prioriti dan inilah yang dipertahan serta diperjuangkan oleh Muhyiddin selaku Pengerusi MPN.
“Ini berbeza dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Najib yang meletakkan survival diri serta politik peribadi sebagai prioriti mereka.
“Lagipun, mereka tidak berada dalam MPN sekali gus jauh dari jangkauan atau lingkungan maklumat berkaitan ekonomi negara. Jadi, jangan sewenang-wenangnya membuat kenyataan melulu yang membidas Muhyiddin dan MPN kalau tidak tahu hujung pangkal,” katanya yang juga menyangkal kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki supaya memotong elaun Pengerusi MPN.
Menurutnya, Muhyiddin tidak mengambil elaun bagi jawatan tersebut kerana niat dan prioriti perkhidmatan beliau adalah untuk membantu kerajaan mencari jalan untuk mengembalikan kestabilan sosioekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

