Gelombang baharu Covid-19 tidak berisiko tinggi – KJ

0
1

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata gelombang baharu Covid-19 yang dihadapi negara lebih awal berbanding jangkaan tidak membawa risiko tinggi seperti gelombang awal jangkitan wabak tersebut.

Khairy, berkata ia dapat dilihat apabila 95.6 peratus pesakit yang dijangkiti Covid-19 hanya perlu berehat di rumah dan bukan di hospital.

Katanya, situasi itu sama seperti awal tahun ini ketika negara berdepan varian Omiron, tetapi kes harian tidak menunjukkan peningkatan ketara manakala individu dijangkiti tidak terlalu teruk.

“Jumlah pesakit yang masuk ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan kematian adalah rendah. Ini bermaksud yang kita perlu hidup dengan Covid-19.

“Sebab itulah saya sarankan kepada mereka terutamanya warga emas untuk mengambil suntikan penggalak bagi berdepan dengan gelombang ini supaya dapat mengurangkan risiko jika berjangkit,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri Perlis di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, kira-kira 70 peratus populasi dewasa sudah mendapatkan suntikan dos penggalak, namun jumlah penerima di Perlis hanya sekitar 43 peratus.

“Saya berharap lebih ramai lagi populasi dewasa dapat mengambil dos penggalak kerana jika mereka dijangkiti Covid-19 nanti hanya mengalami demam biasa berbanding yang belum ambil iaitu boleh berdepan dengan risiko jadi teruk,” katanya.

Semalam, Khairy berkata, gelombang baharu Covid-19 di negara ini berkemungkinan berlaku lebih awal berbanding tempoh antara dua atau tiga bulan lagi seperti diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak bertujuan menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, sebaliknya ia mengambil kira langkah pencegahan yang perlu diambil meliputi setiap aspek oleh semua pihak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here