Jangan salah tafsir penamatan Tajuddin sebagai MKT

0
1
Datuk Seri Tajuddin

VETERAN Umno berharap penamatan jawatan Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman sebagai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak disalah tafsir dan dijadikan isu oleh pihak tertentu sekali gus melaga-lagakan pemimpin dalam kalangan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata sebagai MKT yang dilantik, Tajuddin harus berfikiran terbuka kerana Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhak menamatkan jawatan itu berdasarkan fasal Perlembagaan Umno.

“Tajuddin adalah MKT yang dilantik oleh Presiden mengikut Fasal 9.8.1.4. Perlembagaan Umno. Ini bermakna Presiden berhak menamat khidmat seseorang yang dia lantik mengikut budi bicaranya demi kebaikan barisan kepimpinan dan parti.

“Saya yakin Tajuddin memahaminya dan menerima dengan hati terbuka dan berlapang dada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Mustapha berkata, ianya perkara biasa dilakukan oleh mana-mana badan dan persatuan di mana presiden atau pengerusi menamatkan khidmat AJK yang dilantik.

“Ianya juga berlaku dalam kerajaan bila PM merasakan seseorang menteri itu perlu ditukar atau ditamatkan khidmatnya.

“Lagi pun Tajuddin baru saja dilantik sebagai Duta Besar Malaysia di Indonesia. Sudah tentu dia akan sibuk dengan tugasan barunya disamping tugasnya sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Tajuddin dipecat daripada jawatan MKT Umno selepas surat yang ditandatangi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan tular.

Surat yang bertarikh 21 Jun itu turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmat baktinya selama ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here