KPM teliti semula subjek sukar

0
1
PUTRAJAYA 15 APRIL 2020. Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika membuat pengumuman Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini dibatalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. NSTP/IHSAN KPM

MENTERI Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin memberi jaminan akan meneliti semula kurikulum sekolah rendah dan menengah yang didakwa menyukarkan pelajar atau pelajar sendiri yang tidak biasa dengannya.

Beliau berkata, pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan tamat pada tahun ini, manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSR) tamat tahun lalu.

“Jika tamat pusingan ini, memang kita akan semak semula silibus. Kita lihat kesesuaian dengan mengambil kira keadaan dan perkembangan semasa.

“Ia tidak boleh dibuat secara suka-suka, ada proses perlu diikuti. Tidak boleh hari ini kata nak semak, kita boleh semak.

“Dalam konteks ini, dalam semakan semula nanti, kita akan lihat sama ada isunya sama ada(kurikulum) benar-benar kompleks atau ketidakbiasaan. Ini perkara yang sedang kita beri tumpuan,” katanya dipetik Harian Metro,hari ini.

Radzi berkata demikian susulan rungutan segelintir ibu bapa dan guru terhadap kurikulum beberapa mata pelajaran seperti Matematik Tahun Satu yang didakwa beraras tinggi.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian memberi keutamaan untuk membuka sekolah baharu di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti di Klang, Selangor dan beberapa kawasan di Johor.

Katanya, pihaknya sedang mencari lokasi yang sesuai bagi tujuan itu kerana tidak semua kawasan dengan kepadatan penduduk tinggi mempunyai tanah yang sudah tersedia untuk pembinaan sekolah.

“Sebagai contoh, Klang antara kawasan paling padat dan ada sekolah yang bilangan muridnya hampir 4,000 orang.

“Jadi, kita ambil pendekatan menyediakan sekolah baharu, namun cabaran besarnya adalah untuk mendapatkan tanah yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata, setiap tahun, purata sekolah baharu yang dibina di seluruh negara adalah 10 sekolah.

Mengenai sama ada KPM bercadang untuk menjadikan warden sekolah berasrama sebagai jawatan tetap selepas kadar elaun mereka dinaikkan 25 peratus bermula 1 Ogos ini dan pertambahan jumlah warden seramai 3,813 orang, Radzi berkata, pihaknya berbincang semua pilihan yang ada sebelum membuat keputusan itu.

“Keputusan semalam (kenaikan elaun) sudah mengambil kira semua kekangan yang ada. Bukan kita tidak dengar semua cadangan yang diberikan dan kita lakukan analisis serta perbincangan mengenainya dengan agensi pusat.

“Ada kekangan di luar ruang lingkup kami dan berdasarkan kekangan itu, kita buat yang terbaik. Ada beberapa perkara yang sedang kita usahakan, antaranya takrifan rumah warden dan membuat penambahbaikan berterusan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here