Kenaikan tarif elektrik: Jangan bebani rakyat – Asyraf Wajdi 

0
2

PEMUDA Umno menggesa kerajaan mencari jalan agar tidak menaikkan tarif elektrik, dengan memindahkan kos kenaikan harga minyak dialami Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada rakyat dalam bentuk surcaj. 

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana kenaikan tarif tenaga elektrik bukan sahaja membebankan rakyat secara langsung bahkan menyumbang kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat kenaikan input kos yang mendadak. 

Katanya, dengan keperitan peningkatan harga barang dan kos sara hidup yang sedang dialami rakyat ketika ini, tidak wajar rakyat dikenakan pula surcaj elektrik yang pastinya menambah beban mereka yang kini sudah semakin sengsara. 

Beliau berkata, TNB yang baru mengumumkan keuntungan bersih RM893 juta untuk suku tahun pertama tahun ini juga harus menzahirkan tanggungjawab sosial korporat mereka. 

Menurutnya, ia dengan mencari formula terbaik menyerap kos yang meningkat akibat bahan api dunia yang naik kerana situasi peperangan antara Rusia dan Ukraine yang menjejaskan bekalan minyak dunia. 

“Jadi, usahlah menambah beban rakyat yang kini sudah amat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Susulan itu, Asyraf Wajdi memaklumkan pihaknya mengusulkan beberapa cadangan kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi aplikasi WhatsApp. 

“Cadangan itu adalah sama ada kerajaan patut berikan subsidi untuk menyerap kos kenaikan bahan api atau meminta Petronas membantu bagi memastikan rakyat ketika ini tidak ditambah beban kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat kenaikan input kos di pasaran,” katanya. 

Tambahnya, kesan berganda pastinya kepada rakyat jika surcaj ini diteruskan bulan depan.

Semalam, media melaporkan pengguna domestik dijangka dikenakan surcaj ke atas bil elektrik mereka bulan depan berikutan kenaikan harga bahan api yang timbul daripada konflik Rusia-Ukraine yang bermula awal tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here